Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Pameran mengetengahkan identiti, budaya tempatan
17/06/2025

 


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, yang juga selaku Ketua Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah berkenan berangkat ke Sambutan 75 Tahun Pengakap Tunas di Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap (PLPP), PPNBD.

Pada acara berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah telah dijunjung bagi menyaksikan pameran-pameran dan permainan yang telah disediakan.

Antara pameran dan permainan yang diketengahkan pada Sambutan 75 Tahun Pengakap Tunas di NBD dan Perasmian PLPP, PPNBD berkenaan ialah aktiviti-aktiviti yang berasaskan permainan tradisi Brunei, sukan dan cabaran minda.

Pameran dan permainan pertama mempersembahkan permainan tradisi Brunei bagi memupuk jati diri dan menghayati warisan budaya melalui permainan tradisional.

Objektifnya adalah bagi menggalakkan penglibatan kanak-kanak dan remaja dalam permainan warisan yang menyeronokkan dan penuh nilai selain mewujudkan kefahaman tentang identiti dan budaya tempatan melalui aktiviti interaktif.

Selain itu, ia juga dapat menghidupkan semula permainan tradisional agar tidak dilupakan oleh generasi muda.

Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan, iaitu permainan Batu Simban yang dapat melatih ketangkasan dan ketepatan lontaran, sementara permainan Tinting mampu meningkatkan keseimbangan badan dan daya tumpuan, manakala permainan Congkak pula dapat mengasah strategi, kiraan matematik, dan kesabaran.

Permainan Dam pula dapat mengajar perancangan langkah dan strategi dalam permainan papan, sementara Menambat Dastar mampu menguji kemahiran tangan dan pemahaman terhadap seni ikatan tradisi.

Sementara pameran dan permainan kedua menyentuh mengenai cabaran minda yang dapat merangsang kreativiti, fokus dan penyelesaian masalah secara santai dan menyeronokkan.

Objektifnya ialah untuk menguji ketajaman fikiran serta keupayaan menyelesaikan masalah secara kritikal dan kreatif serta menggalakkan semangat kerjasama dalam menyelesaikan tugasan secara berkumpulan.

Selain itu, ia juga mampu membina keyakinan diri dan keseronokan dalam pembelajaran tidak formal.

Antara aktiviti-aktivitinya ialah permainan menembak sasaran, iaitu melatih fokus, kawalan motor halus dan ketepatan; manakala meneka warna dapat menguji daya ingatan dan kemampuan membuat jangkaan secara visual, sementara mencari benda tersembunyi pula menggalakkan ketelitian dan pemerhatian.

Bagi aktiviti Targeted Goal mampu mengasah daya sasaran dan pemahaman terhadap objektif permainan; sementara lempar gelung dapat meningkatkan koordinasi mata dan tangan; manakala memindah biji kacang hijau dengan 'chopstick' pula menguji kemahiran halus dan kesabaran; dan Go Solar dapat memupuk kesedaran tentang tenaga boleh diperbaharui melalui aktiviti interaktif.

Sementara pameran dan permainan ketiga pula ialah sukan, dengan menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif melalui sukan rekreasi dan kompetitif.

Objektifnya ialah untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan daya tahan kanak-kanak dan remaja selain mewujudkan semangat kesukanan, kerja berpasukan dan disiplin.

Selain itu, ia juga menyediakan ruang sukan yang menyeronokkan dan mudah diakses oleh semua peringkat umur.

Antara aktiviti-aktivitinya ialah memancing yang mampu mengasah kesabaran dan tumpuan, sementara permainan Beyblade dapat mewujudkan persaingan sihat dan minat terhadap sukan moden, manakala Bola Keranjang Mini menggalakkan koordinasi dan kerja berpasukan, dan Bowling Botol menguji ketepatan dan kawalan tenaga dalam suasana santai.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto